Hasil daripada perjumpaan di antara Ahli Majlis dengan wakil penduduk dan wakil MPKj pada 2 Mac 2010, satu taklimat dan perbincangan susulan telah diadakan membabitkan Y.B. Teo Nie Ching Ahli Parlimen Serdang, ahli Majlis, wakil penduduk, wakil JPS Daerah Hulu Langat dan wakil MPKj bagi bersama-sama mencari kaedah terbaik bagi menyelesaikan isu yang dihadapi oleh penduduk Taman Seri Langat.
Hasil perbincangan tersebut, pihak JPS telah memaklumkan bahawa pihak JPS Daerah telah bersetuju untuk membina benteng di kawasan berhampiran dengan sungai untuk menghalang limpahan air Sungai Langat daripada terus masuk ke dalam Kawasan Taman Seri Langat. Selain itu, untuk tindakan jangka panjang pula, pihak JPS telah memohon peruntukan daripada kerajaan di bawah Rancangan Malaysia ke-10 untuk menjalankan kerja-kerja mendalamkan, membina tembok menghalang hakisan, melebarkan sungai serta memperkukuhkan tebing-tebing sungai di sepanjang aliran Sungai Langat.
Buat permulaan, pihak JPS Daerah telah memasang kunci air di kawasan tersebut bagi menghalang limpahan air Sungai langat daripada memasuki kawasan Taman Seri Langat yang secara tidak langsung dapat mengurangkan risiko banjir dikawasan tersebut sehinggalah kerja-kerja membina tembok penghalang banjir siap dilaksanakan.