Khamis, 25 Mac 2010

LAWATAN MP. SERDANG KE TAMAN SRI LANGAT







Hasil daripada perjumpaan di antara Ahli Majlis dengan wakil penduduk dan wakil MPKj pada 2 Mac 2010, satu
taklimat dan perbincangan susulan telah diadakan membabitkan Y.B. Teo Nie Ching Ahli Parlimen Serdang, ahli Majlis, wakil penduduk, wakil JPS Daerah Hulu Langat dan wakil MPKj bagi bersama-sama mencari kaedah terbaik bagi menyelesaikan isu yang dihadapi oleh penduduk Taman Seri Langat.

Hasil perbincangan tersebut, pihak JPS telah memaklumkan bahawa pihak JPS Daerah telah bersetuju untuk membina benteng di kawasan berhampiran dengan sungai untuk menghalang limpahan air Sungai Langat daripada terus masuk ke dalam Kawasan Taman Seri Langat.
Selain itu, untuk tindakan jangka panjang pula, pihak JPS telah memohon peruntukan daripada kerajaan di bawah Rancangan Malaysia ke-10 untuk menjalankan kerja-kerja mendalamkan, membina tembok menghalang hakisan, melebarkan sungai serta memperkukuhkan tebing-tebing sungai di sepanjang aliran Sungai Langat.

Buat permulaan, pihak JPS Daerah telah memasang kunci air di kawasan tersebut bagi menghalang limpahan air Sungai langat daripada memasuki kawasan Taman Seri Langat yang secara tidak langsung dapat mengurangkan risiko banjir dikawasan tersebut sehinggalah kerja-kerja membina tembok penghalang banjir siap dilaksanakan.

Isnin, 1 Mac 2010

LAWATAN AHLI MAJLIS, MPP DAN MPKj BAGI MENINJAU MASALAH PARIT MONSUN




Tn. Hj. Shafie Ngah meluangkan masa untuk meninjau Parit Monsun di Taman Kajang Utama bersama En. Abu Bakar, Wakil Persatuan Gabungan NGO Taman Kajang Utama, Bukit Mewah dan Seri Mewah merangkap MPP Zon 22 bersama pegawai MPKj.

Lawatan Ahli Majlis, Wakil Penduduk dan Wakil MPKj ke Taman Seri Langat







Ahli Majlis sedang berbincang dengan wakil MPKj mengenai cadangan penyelesaian mengatasi isu banjir di Taman Seri Langat.


ISU-ISU PENDUDUK TAMAN SERI LANGAT

1.Pembinaan tembok penghalang banjir

Penduduk Taman Seri Langat mencadangkan agar dibina tembok penghalang banjir di atas kawasan Parit Monsun bagi menghalang air daripada melimpah masuk ke kawasan taman.

2.Hakisan Tebing sungai yang berbahaya kepada penduduk

Penduduk memaklumkan bahawa hakisan di kawasan tebing Sungai Langat semakin hampir dengan kawasan perumahan penduduk. Jika tidak diatasi segera, penduduk bimbang aliran sungai akan berubah menghala ke arah kawasan penempatan dan akan mengakibatkan kawasan perumahan berdekatan terjejas.

3.Jentera berat dari kilang keluar dan masuk melalui kawasan taman

Penduduk memaklumkan bahawa kehadiran jentera-jentera berat seperti lori dan jentolak yang melalui kawasan perumahan mereka telah mengakibatkan berlakunya masalah kepada penduduk. antaranya ialah masalah pencemaran bunyi, masalah keselamatan penduduk terutamanya kanak-kanak serta telah mengakibatkan kerosakan jalan di kawasan Taman Seri Langat.

4.Penggunaan rizab parit sebagai tempat simpanan jentera

Hasil tinjauan yang dilakukan mendapati bahawa tanah rizab parit Monsun telah dicerobohi dan digunakan sebagai tempat menyimpan jentera, papan/kayu, tayar lama dan sebagainya yang dibimbangi akan menjadi sarang pembiakan nyamuk. Selain itu, pembinaan pagar oleh kilang di kawasan berkenaan juga telah mengakibatkan kerja-kerja pembersihan parit tidak dapat dilakukan. hal ini adalah kerana pembinaan pagar sehingga ke tepi parit telah menghalang kerja-kerja pembersihan daripada dijalankan.

Related Posts with Thumbnails